pihak penaja

DI SINI KITA BICARA

SELAMAT DATANG KE CITH. AKU HANYA ORANG BIASA.MENULIS SEKADAR BIASA-BIASA.LUAHAN SUARA DARI DAPUR SEORANG SURI, CETUSAN DARI HATI, PANDANGAN DARI MATA UNTUK DIARI SEHARIANKU.

FOLLOWERS SAYA

LOVE

LOVE: THE MOST POWERFUL ENERGY
Powered By Blogger

Friday, August 6, 2010

RAHSIA DALAM KELUARGA-mari kita ambil tahu

salam Jumaat semua.hari ni kita nak cerita sikit pasal rahsia... RAHSIA?....syyy....jangan cakap dengan orang...kan dah namanya RAHSIA...kalau dah beritahu orang, bukan lagi namanya RAHSIA....tapi sedar atau tahukah kita bahawa rahsia ni pun ada tahap-tahapnya yang mana ia boleh jadi rahsia selamanya dan ia juga boleh dibocorkan atas lasan-alasan yang dibenarkan.

mari kita ambil tahu serba sedikit mengenai RAHSIA DALAM KELUARGA-satu perkongsiaan di pagi Jumaat ini.moga kita semua mendapat manfaat bersama.

Apakah wujud kerahsiaan dalam keluarga?
Jawapan: Ya dan tidak. Maksudnya?

Maksudnya, ada perkara yang perlu dirahsiakan dan ada juga perkara yang tak perlu dirahsiakan. Malah ada antara perkara yang mulanya adalah rahsia tetapi dalam sebahagian keadaan perlu diumumkan bila diperlukan. Paling penting, bila bercakap tentang rahsia dalam keluarga, kita perlu bahagikan kepada dua bahagian iaitu 1) rahsia melibatkan suami isteri dan 2) rahsia melibatkan suami isteri atau ibu bapa dan anak-anak.

Hakikatnya, rahsia dalam keluarga melibatkan suami isteri atau lebih mudah disebut rahsia rumahtangga terbahagi kepada empat bentuk iaitu rahsia khusus, rahsia yang menyentuh keselamatan, rahsia harta benda, rahsia bilik tidur, rahsia berhubung dengan maruah diri dan rahsia tentang nafkah.

1. Rahsia khusus:

Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan.
Imam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin supaya menjaga amanah dan antara amanah itu ialah “satu perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah tersebut.
Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.

2. Rahsia yang menyentuh keselamatan:

Jangan terlepas cakap tentang perkara yang ada kaitan dengan keselamatan kepada orang yang tidak dikenali atau baru dikenali contoh waktu pergi balik ke tempat kerja dll.

Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Teladani kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya terancam.

3. Rahsia harta benda:

Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan. Dalam hal ini, isteri terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (hadis riwayat at-Thabrani)
Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Menjadi tanggungjawb suami dan isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya.

Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah SAW: “Jika ada orang yang menjenguk-jenguk rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

* kalau beri salam sampai 3 kali pun- jika tiada berjawab,kita tidak digalakkan
untuk tunggu lagi.bermakna,kita bolehlah pergi dari situ!

jelas menunjukkan kepada kita peri pentingnya supaya kita menghormati harta benda orang lain.

4. Rahsia Bilik Tidur:

Merupakan rahsia yang paling utama, haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri.

Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.

5. Rahsia berhubung dengan maruah diri:

Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita-wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)

Maruah yang dimaksudkan melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Jika maruah diri tidak dipelihara akan berlakulah kepincangan di dalam rumahtangga seterusnya menggugat kesejahteraan masyarakat. Janganlah jika ada parut atau tanda yang ada di tempat sulit pun hendak diceritakan kepada orang lain.

6. Rahsia berhubung nafkah:

Perkara yang pasti, suami wajib memberikan nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah.

Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia.

Sebagai contoh, rahsia berhubung nafkah. Katakan telah diadakan perbincangan tetapi suami masih enggan berikan nafkah. Apakah yang perlu dilakukan?

Dalam kes seperti ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka ke pengetahuan seseorang.

Terdapat beberapa tindakan perlu diambil:

i) Merujuk kepada orang yang sesuai

Andainya sudah nekad untuk mengadu masalah dalam rumahtangga, rujuklah kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit.

Pastikan orang pilihan tersebut amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil, tidak mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah.

Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting dia boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.

ii) Membuka rahsia yang sesuai

Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumahtangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.

iii) Merujuk kepada Hakam

“Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35)

Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah.

iv) Merujuk kepada mahkamah

Merupakan peringkat terakhir apabila jalan penyelesaian melalui perbincangan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Mahkamah boleh membuat keputusan dan dalam keadaan ini, ada rahsia yang perlu didedahkan di hadapan hakim atau mahkamah.

Bagaimana pula kerahsiaan dalam hubungan ibu bapa dan anak-anak?

Dalam hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, tak sepatutnya terlalu banyak rahsia sebab kerukunan sebuah keluarga akan hadir dengan adanya sikap berterus terang dan selalu berbincang. Namun, perkara berkaitan masalah antara suami isteri tetap menjadi rahsia utama. Ibu bapa tidak dibenarkan bergaduh di hadapan anak-anak. Pergaduhan dan perselisihan faham seharusnya menjadi rahsia yang tidak boleh diketahui oleh anak-anak.

Sebaliknya jika anak-anak terlibat di dalam masalah rumahtangga, rahsia rumahtangga hanya boleh didedahkan kepada ibu bapa dengan tujuan mencari jalan penyelesaian tetapi tidak digalakkan kerana naluri fitrah ibu bapa, sukar menjadi perantara yang adil. Jika rahsia melibatkan keselamatan nyawa, ia boleh didedahkan.

Pengecualian lain ialah mengenai status si anak. Ada ibu bapa yang bertindak merahsiakan status sebenar si anak sama ada anak angkat atau anak tak sah taraf. Sepatutnya status ini tidak boleh dirahsiakan sebaliknya perlu dijelaskan secara berhikmah agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini pada masa akan datang.

Kesimpulan? Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti kebijaksanaan Sayidatina Khadijah r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’.

Beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid.

Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah SAW sendiri menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya.

Kesimpulannya,

biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya.

Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.”


ALAHAI...

*petang ni aku bakal balik kampung-ada kenduri arwah dan sambut Ramadan esok.jika ada kelapangan kita jumpa hari Sabtu ,kalau tidak pun ketemu hari Ahad nanti.

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

No comments:

Post a Comment

CINTA

LUAHAN CINTA DI AWAL PERKAHWINAN TIDAK CUKUP,CINTA PERLU DIBAJA DAN DISIRAM AGAR KEKAL MEKAR DAN BERKEMBANG.CINTA BOLEH ADA DAN BOLEH KEMBALI TIADA JIKA TIDAK DIBAJA.CINTA PERLU DILUAH BUKAN DIPENDAM DIAM-suzana ghazali
Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Second Birthday tickers

lalala